Hospital Besut adalah salah sebuah dari 6 buah hospital di negeri Terengganu, mula beroperasi pada 21hb Oktober 1975. Hospital yang asalnya dibina dengan kos lebih kurang RM 5.5juta ini terletak 1km dari pusat bandar Jerteh, 115km dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu , 62km dari Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ), Kota Bharu dan 55km dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. HUSM dan HRPZ merupakan pusat rujukan utama kerana jaraknya yang lebih dekat berbanding HSNZ. Hospital Besut menyediakan kemudahan rawatan kepada semua penduduk daerah Besut serta sebahagian dari penduduk daerah Setiu dan Pasir Puteh, Kelantan.
Besut merupakan salah sebuah dari tujuh daerah di negeri Terengganu. Bersempadankan dengan daerah Setiu (Terengganu), di selatan dan daerah Pasir Puteh (Kelantan) di utara. Kegiatan ekonomi utama penduduk daerah ini adalah pertanian, nelayan dan sebahagiannya kakitangan kerajaan dan swasta.